Translate

Friday 22 May 2015

Imbasan Di Zaman 60an dan 70 an

Semasa dulu sekitar lewat 60an saya masih boleh ingat keadaan dan suasana kampung saya. Masa tu belum ada jalan yang boleh dilalui oleh kereta. Kalau naik basikal pun terpaksa melalui celah celah pokok kelapa. Kalau tersilap sikit alamat terjun ke dalam parit lah jawapnya. Zaman tu juga belum ada bekalan air dan elektrik. Air paip masa tu cuma ada kat tepi jalan. Kalau nak ambil air kena bawa tong untuk isi air dari paip awan yang terletak lebih kurang 1 batu jauhnya dari rumah. Rumah saya agak kedalam sikit dan agak terpencil yang dikelilingi sawah yang luas. Masa tu ikan memang banyak. Ikan sepat, puyu, haruan dan keli memang banyak. Kami memang jarang beli ikan laut. Kalau nak tangkap ikan memang senang. Bawa je jala ke pukat ka atau terjun dalam parit pun boleh dapat ikan. Sayur pun kami jarang beli. Kalau nak cuma kutip je kat batas bata sawah. Dulu tak pakai racun. Air sawah pu kalau nak minum tak ada masalah. Sebelah malam pula kami pasang pelita minyak gas. TV pun tak ada. Kalau nak tengok tv kena pi rumah jiran yang terletak 1 km jauhnya. Biasanya kami tengok tv pada setiap malam Sabtu je. Masa tu saya suka tengok cerita Combat dan tayangan gambar Melayu. Memang best masa tu. Untuk pergi tengok tv kami dah siapkan jamong yang akan dibawa untuk menyuluh jalan maklumlah keadaan agak gelap kalau jalan waktu malam. Pernah beberapa kali saya dan rakan rakan terserempak dengan ular senduk nasib tak terpijak. Masa tu kalau ada kerja sekolah saya dan adik adik kena siapkan pada waktu siang sebab malam hanya diterangi lampu minyak tanah. Walaupun kehidupan zaman tu agak daif namun ikatan kekeluargaan memang akrab. Dulu tak ada wasab, fb dan sebagainya. Telefon pun kena pi guna yang public punya. Masa tu kalau esoknya nak buat kuih mak akan tumbuk beras siap siap pada petang sebelumnya. Kuih dulu dulu memang sedap tak macam zaman sekarang. Satu lagi kalau pasal buah pelam, pisang ka jagung ka keledek ka ubikayu ka memang kami tak payah beli memang tanam sendiri. Keluarga saya memang kerja sawah je. Selain kerjakan sawah sendiri ayah juga ambil upah di sawah sawah penduduk sekitar kampung dapatlah sikit belanja sementara menunggu padi masak. Dulu pi sekolah saya cuma bawa 10 sen je kadang kadang 5 sen. Dapatlah makan nasi lemak sebungkus. Kalau tak ada duit saya minum air paip je. Kenangan semasa zaman dulu tetap dalam ingatan cuma anak anak sekarang hidup lebih mewah. Mereka tak pernah lalui apa yang kita lalui masa tu. Era 60an dan awal 70 an memang nostalgic.