Memulakan perjalanan jam 11.30 malam dari Terminal Makmur Kuantan dengan menaiki bas express. Jalan yang akan dilalui adalah Kuantan-Pekan-Rompin-Endau-Mersing-Johor Bahru. Sebelum memulakan perjalanan, pemandu terlebih dahulu mengisi minyak di sebuah stesen minyak di bandar Kuantan. Perjalanan dari Kuantan agak licin tanpa kesesakan lalulintas walaupun hujan mulai renyai. Kebanyakan penghuni rumah mula dibuai mimpi.Hujan mulai turun walaupun tidak berapa lebat. Jam menunjukkan pukul 12.45 tengah malam tatkala kami singgah dan berhenti di restoran Azrin Tomyam dan Seafood. Restoran ini adalah menjadi tempat persinggahan bas-bas express yang melalui laluan Kuantan-Mersing. Jam 1.15 pagi bas meneruskan perjalanan menuju ke selatan. Jalan diterangi oleh kabanyakkan lampu-lampu yang terdapat di kiri kanan jalan dan cahaya lampu dari rumah-rumah yang terdapat di kiri kanan jalan ditambah cahaya dari cahaya bulan walaupun agak sedikit suram disebabkan hujan yang mulai turun setelah kami memulakan perjalanan. Jam 1.45 pagi kami tiba di pekan Rompin. Di pekan ini terdapat agak banyak gerai-gerai makanan seafood. Kelihatan masih ramai pelanggan yang sedang menikmati makan tengah malam. Malam makin larut dan saya masih belum dapat melelapkan mata biarpun sesaat tak tahu kenapa. Selalunya kalau saya naik bas yang melalui jalan Kuantan-Segamat memang saya mudah melelapkan mata mungkin keadaan jalannya yang agak lurus. Tidak lama selepas itu iaitu jam 2.00 pagi kami pun tiba di pekan Endau. Sebaik memasuki pekan Endau penumpang dikejutkan dengan bunyi hon dan brek bas. lalu kami dapat memerhatikan sekumpulan remaja bermotorsikal sekitar 10-20 buah sedang merempit di jalan raya. Bas yang kami naiki nyaris terlanggar sebuah daripada motorsikal mat rempit yang menunggang dalam keadaan berbahaya.Terkejut kami dibuatnya. Sebelum ini saya pernah ternampak kumpulan mat rempit yang lebih besar sekitar 100 buah motorsikal berhampiran bandar Segamat antara laluan Muadzam Shah-Segamat yang juga menunggang dalam keadaan berbahaya, Tapi malam ini keadaan lebih memeranjatkan kerana penunggang tersebut agak terlalu berani menunggang di tengah-tengah jalan tanpa melihat bas yang sedang bergerak laju dari arah belakang. Tak lama kemudian bas berhenti seketika untuk menukar pemandu. Pemandu kedua bas nampak lebih berpengalaman kerana laluan berikutnya lebih mencabar kerana terdapat liku yang begitu banyak. Jalan Endau-Mersing juga terdapat kabus yang agak tebal. 20 km pertama tidak kelihatan sebuah rumah pun. Di kiri kanan jalan gelap gelita dengan seakan meredah rimba. Kami kemudiannya sampai di pekan Mersing. Bas berhenti sekejap untuk menurunkan penumpang. Bas meneruskan perjalanan. Jalan yang dilalui masih berliku.Tidak banyak kenderaan yang melalui jalan ini. Sesekali terserempak dengan kereta ataupun lori treler. Laluan ini sangat berbahaya kerana terdapat selekoh di merata tempat. Kalau anda baru pertama kali menggunakan jalan ini anda perlulah berhati-hati. Kalau boleh menggelak memandu di sebelah malam. Kalau anda terpaksa memandu di sebelah malam pastikan tangki minyak diisi penuh supaya tidak mengalami masalah dipertengahan jalan kerana hampir tiada stesen minyak beroperasi selepas 12.00 tengah malam. Rakan saya pernah mengalami masalah hampir kehabisan minyak dalam perjalanannya dari Kuantan menuju ke Johor Bahru. Mungkin terlupa mengisi minyak semasa memulakan perjalanan dari bandar Kuantan. Setelah jauh meninggalkan bandar Kuantan, beliau baru menyedari yang minyak hampir kehabisan. Beliau bercadang mengisi minyak di pekan Rompin. Namun pada masa itu beliau hampa kerana tidak dapat mengisi minyak kerana stesen minyak telah pun ditutup. Stesen minyak paling hampir adalah di bandar Mersing. Beliau terpaksa meminta pertolongan daripada beberapa pemuda yang sedang minum di sebuah gerai di tepi jalan. Nasibnya baik kerana dapat mengisi minyak di stesen minyak ala kampung. Namun apabila tiba di bandar Mersing beliau sekali lagi mendapati stesen minyak telah ditutup. Beliau tiada pilihan selain dari memberanikan diri meneruskan perjalanan hingga tiba di Kota Tinggi. Nasib baik ada stesen minyak yang masih beroperasi. Kalau tidak entahlah apa yang akan terjadi. Itu cerita rakan saya.
Akhirnya bas yang saya naiki selamat tiba di bandaraya Johor Bahru tepat jam 4.02 pagi. Selepas turun dari bas saya mengambil teksi untuk balik ke rumah. Ada pemandu yang mengenakan tambang RM 50 untuk jarak perjalanan yang hanya sekitar 10 km. Saya terpaksa menolaknya kerana bagi saya tambang yang dikenakan terlalu tinggi. Kalau menggunakan meter tambang hanya RM 15 sahaja. Akhirnya ada seorang pemandu lain bersetuju dengan tambang yang saya tawarkan.